AQIQAH. APA YANG PERLU KITA TAHU?
Apa pula keistimewaannya jika memilih kambing sebagai haiwan aqiqah?
Mari kita lihat dengan lebih terperinci.
Aqiqah ialah satu ibadah dan sunnah Nabi SAW dalam menyambut kelahiran baru bagi setiap keluarga yang beragama Islam. Ianya merupakan suatu ekpresi kesyukuran ke hadrat Ilahi yang telah mengurniakan cahaya mata kepada setiap pasangan sebagai penghias kehidupan.
Ibadah ini sangat murni disisi Islam yang mana ia sebagai tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang telah menyuntik titik kebahagian bagi pasangan yang menantikannya. Setiap pasangan dapat meluahkan ucapan terima kasih mereka dengan cara bersedekah makanan yang baik seperti kambing dan beberapa haiwan lain.
Dengan kata lain, aqiqah membenarkan ibu bapa untuk mengorbankan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan unta untuk diagihkan kepada fakir miskin serta jiran tetangga.
Jadi, apakah haiwan yang paling afdhal untuk dikorbankan dan bagaimana ia menjadi yang terbaik?
Haiwan ternakan yang paling afdhal untuk dikorbankan bagi ibadah aqiqah adalah kambing dengan kadar yang berbeza bagi setiap jantina bayi tersebut.
Bayi Lelaki – 2 ekor kambing
Bayi Perempuan – 1 ekor kambing
Ini bertetapan dengan (Hadith Riwayat At-Tirmidzi – No. Hadith 1513) yang menyatakan:
“Kami diperintahkan oleh Rasulullah SAW supaya melaksanakan akikah untuk bayi lelaki dengan 2 ekor kambing yang bersamaan kedua-duanya, dan bayi perempuan dengan seekor kambing” .
Namun begitu, tidak menjadi masalah jika anda ingin melaksanakan ibadah aqiqah dengan haiwan ternakan lain seperti lembu dan juga unta. Hal ini kerana ia juga merupakan antara jenis haiwan yang tersenarai dala syarat sah aqiqah. Selain itu, kami juga percaya anda mungkin tertanya- tanya tentang beberapa persoalan lain seperti:-
Hukum jika disembelih hanya seekor kambing sahaja pada hari ke-7 selepas kelahiran bayi lelaki dan seekor lagi pada masa akan datang?
Menurut ulama’ ianya dibolehkan dan tidak menjadi suatu isu besar untuk dipersoalkan. Konsep Islam ini mudah serta menyenangkan dan Allah SWT pasti tidak mahu membebankan hambanya dengan ujian.
Had tempoh aqiqah pastinya berbeza mengikut mazhab yang diikuti. Sebagai pengikut mazhab Syafie’, tempoh aqiqah yang disarankan kepada ibu bapa adalah sehingga mencapai tempoh baligh si anak. Namun begitu, jika ia melebihi tempoh tersebut, tempoh aqiqah akan jatuh kepada tanggungjawab si anak itu sendiri.
Ramai juga yang masih tertanya-tanya berkenaan jantina haiwan yang terbaik untuk diaqiqah berserta had umur yang disarankan?
Hakikatnya, tiada saranan utama yang dikeluarkan tentang pemilihan jantina haiwan namun, kebanyakan mereka yang melakukan ibadah ini cenderung untuk memilih haiwan jantan kerana bakanya yang lebih besar untuk dikongsi ramai. Selain itu, penyembelihan haiwan jantan dikatakan sedikit sukar kerana kebanyakan orang akan berkira-kira untuk melakukannya oleh kerana nilainya yang lebih mahal dengan isi yang lebih bagus. Jadi niat melakukan aqiqah ini, akan membuatkan ibu bapa lebih ikhlas untuk bersedekah sekaligus membuktikan kesyukurannya terhadap nikmat yang telah diterima.
Pastikan anda memilih haiwan yang sempurna fizilnya, tidak cacat dan tidak juga berpenyakit dengan had umur yang disarankan mengikut spesifikasi syarat haiwan yang boleh diakikah:-
Kambing: 2 tahun
Biri-biri : 1 tahun atau sudah bersalin
Lembu : 2 tahun
Unta : 5 tahun
Apa pula ciri-ciri kambing untuk aqiqah kambing?
1. Beli kambing yang sihat
Anda disarankan untuk periksa terlebih dahulu bulu pada kambing dan elakkan memilih kambing dengan bulu yang kering kerana dikhuatiri ianya tidak sihat.
2. Mata yang bulat
Pilih jenis kambing dengan mata yang bulat terbuka serta bersinar. Elakkan memilih kambing dengan mata yang tertutup ataupun merah kerana ia menggambarkan keadaannya yang tidak bermaya dan sakit.
3. Bahagian atas yang besar
Pilih lah kambing dengan bahagian atasnya yang besar dengan tulangnya yang tidak tertimbul. Bahagian belakang kambing yang besar turut menunjukkan isinya yang banyak dan itu adalah yang sebaiknya.
Jadi itu antara beberapa perkara asas yang perlu diambil tahu jika anda berniat untuk melakukan aqiqah kambing atau anda dalam proses mendapatkan cahaya mata. Semoga segala yang kami kongsikan dapat menjadi panduan lengkap untuk anda melakukannya terutama kepada ibu bapa yang akan menyambut cahaya mata buat kali pertama.
Jika ada isu atau persoalan yang ingin diutarakan, boleh sahaja hubungi kami pada talian yang tertera dan semoga kita berjumpa lagi di lain artikel dengan topik dan isu yang lebih menarik!